MENTIRI, 2 Ogos — Pejabat Perdagangan & Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) telah menganjurkan Golf Amal STATOB 2026 di Pantai Mentiri Golf Club (PMGC), yang menghimpunkan 78 pemain golf daripada kalangan wakil agensi kerajaan, pemimpin perniagaan, pegawai kanan, penaja serta pemain golf dari Sarawak dan Brunei Darussalam. Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Ahli Lembaga Pengarah STATOB, Yang Mulia Tuan Haji Bustamam Abang, serta Ketua Pegawai Eksekutif STATOB, Yang Mulia Tuan Haji Samat Junai. Kejohanan ini dianjurkan bagi mengumpul dana untuk menyokong inisiatif kebajikan STATOB, di samping meningkatkan kesedaran mengenai peranan organisasi dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kebudayaan antara Sarawak dan Brunei Darussalam. Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform untuk memperluas jaringan kerjasama strategik, menggalakkan penglibatan komuniti serta menghargai sumbangan para penaja dan penyokong terhadap usaha kebajikan. Acara bermula seawal jam 6.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi, diikuti sesi bergambar rasmi sebelum peserta dilepaskan secara shotgun tee-off pada jam 7.15 pagi. Acara kemudiannya diteruskan dengan jamuan makan tengah hari, penyampaian hadiah serta cabutan bertuah selepas tamat kejohanan. Kejohanan ini mempertandingkan beberapa kategori utama, termasuk VIP Stableford System 36 dan kategori Strokeplay (Handicap) bagi jemputan khas. Turut dipertandingkan ialah hadiah khas seperti Hole-in-One, Nearest to Pin, Longest Drive dan Nearest to Line. Melalui penganjuran ini, STATOB berharap dapat terus memperkukuh hubungan antara sektor awam dan swasta di kedua-dua wilayah, memupuk budaya tanggungjawab sosial korporat (CSR), menggalakkan gaya hidup sihat serta mewujudkan jaringan kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada Sarawak dan Brunei Darussalam. Kejohanan ini juga menyokong usaha mempertingkatkan profil sukan golf di Brunei sebagai platform bagi membina jaringan perniagaan, mempromosikan pelancongan serta menggalakkan aktiviti kemasyarakatan. STATOB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, pihak pengurusan dan jawatankuasa Pantai Mentiri Golf Club (PMGC), para peserta serta semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan Golf Amal STATOB 2026. Sokongan yang diberikan mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan yang menjadi asas kepada kejayaan penganjuran kejohanan ini. Diharapkan Golf Amal STATOB akan terus menjadi acara tahunan yang menyatukan komuniti perniagaan dan masyarakat dalam semangat kebajikan, persahabatan serta hubungan erat antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Share Via: