LAWAS, 24 Ogos — Program LCDA Berambeh ke Lawas bertemakan “LCDA Bersama Komuniti” menjadi antara pengisian Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), yang menghimpunkan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keagamaan, sukan dan kelestarian alam sekitar.

Berlangsung selama dua hari di Dataran Bandar Lawas, program berkenaan turut menjadi platform untuk mendekati masyarakat serta meninjau perkembangan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan Lawas dan sekitarnya.

Antara tumpuan ialah perancangan pembangunan semula Pekan Trusan yang berpotensi membuka prospek baharu kepada komuniti setempat, khususnya berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Sarawak–Brunei Darussalam.

Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, sebelum ini memaklumkan bahawa pembangunan semula kawasan Trusan berpotensi dibangunkan sebagai sebuah bandar transit, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta aktiviti sosial masyarakat setempat.

Sebanyak 15 unit rumah baharu turut dibangunkan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan semula Kampung Trusan, membolehkan penduduk yang terlibat berpindah sebelum kerja-kerja pembangunan dilaksanakan. Pelaksanaan tersebut melibatkan kerjasama antara LCDA dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Kedudukan Lawas yang berdekatan dengan Brunei Darussalam turut menjadikan kawasan berkenaan mempunyai kepentingan strategik dalam memperkukuh hubungan rentas sempadan serta membuka ruang kepada perkembangan ekonomi, perdagangan, pelancongan dan hubungan komuniti.

Program tersebut dilaporkan menerima kira-kira 1,000 pengunjung, selain menampilkan pelbagai aktiviti bersama komuniti serta inisiatif kebajikan dan kelestarian alam sekitar.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas, YB Dato Henry Sum Agong; Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Haji Zaidi bin Haji Mahdi; Residen Bahagian Limbang, Tuan Haji Unus Tambi; Pegawai Daerah Lawas, Encik Ladin Atok; Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari bin Awang Mahmood serta kenamaan lain.

Turut hadir ke program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Trade & Tourism Office, Brunei Darussalam (STATOB), Tuan Haji Samat Junai, yang mencerminkan sokongan terhadap usaha pembangunan serta pengukuhan jaringan antara Sarawak dan Brunei Darussalam, khususnya di kawasan utara Sarawak.

Penglibatan pelbagai pihak dalam program ini memperlihatkan kepentingan pendekatan bersama dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta menyokong agenda pembangunan Sarawak secara berterusan.