BRUNEI DARUSSALAM, 10 Ogos 2026 — Seramai 67 orang jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) dan rakan jemaah sekitar Brunei-Muara telah menyertai Program Jelajah Harmoni 2026 – Satu Perjalanan, Seribu Kenangan Ukhuwah ke Bintulu, Sarawak, yang berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos 2026.

Delegasi tersebut diketuai bersama oleh Penaung Masjid, Dato Seri Setia Awang Ali Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Aminuddin Ihsan Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Abidin. Program ini merupakan lawatan muhibbah yang bertujuan memperkukuh silaturahim dan ukhuwah Islamiah antara jemaah masjid di Brunei Darussalam dengan komuniti masjid dan institusi keagamaan di Bintulu.

Dalam menjayakan kunjungan tersebut, Pejabat Perdagangan & Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) berperanan sebagai pemudah cara khususnya dalam membantu penyelarasan program serta memberikan khidmat nasihat berkaitan perjalanan dan logistik antara pihak delegasi dengan rakan-rakan di Bintulu. Turut menyertai program ialah Yang Mulia Tuan Jasman Tambi, Stakeholder Affairs Manager, STATOB.

Antara pengisian utama ialah kunjungan ke Masjid At-Taqwa RPR Sibiew dan Madrasah At-Taqwa, yang merangkumi sesi taklimat, perbincangan dan silaturahim bersama pihak pengurusan masjid dan madrasah. Program turut diserikan dengan persembahan hafiah Al-Quran, dikir Brunei dan qasidah, selain jamuan bersama serta penyampaian sumbangan dan cenderamata.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti kebajikan, delegasi turut menyampaikan sumbangan wakaf serta bakul sembako yang mengandungi barangan keperluan asas kepada lebih 55 keluarga kurang berkemampuan.

Sepanjang berada di Bintulu, delegasi turut mengadakan kunjungan dan berinteraksi bersama Jawatankuasa Takmir serta jemaah Masjid Daerah Bintulu dan Surau Darussyakirin. Delegasi juga berkesempatan mengunjungi Bintulu Development Authority (BDA) serta menghadiri majlis jamuan makan malam yang dianjurkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengurusan serta aktiviti masjid, di samping memperluaskan hubungan kemasyarakatan antara komuniti Brunei Darussalam dan Sarawak.

Berteraskan tema “Satu Perjalanan, Seribu Kenangan Ukhuwah”, Jelajah Harmoni 2026 mencerminkan semangat persahabatan dan hubungan serumpun yang terus diperkukuh melalui inisiatif muhibbah, keagamaan dan kemasyarakatan antara Brunei Darussalam dan Sarawak.